Tuesday, October 19, 2010

Duit Rakyat 2

Datuk Seri Najib Razak mempertahankan cadangan pembinaan menara 100 tingkat bernilai RM5 bilion oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan menyifatkan ia bukan pembaziran tetapi bertujuan menjana ekonomi serta mewujudkan satu mercu tanda Malaysia yang maju dan moden.

Perdana Menteri berkata pembinaan menara itu akan turut membawa manfaat kepada pelbagai sektor.

"Banyak kerja-kerja kontrak yang boleh kita agihkan untuk menggerakkan kegiatan ekonomi, dan kawasan itu boleh menjadi pusat perniagaan menempatkan peniaga bumiputera dan bukan bumiputera, menjadi pusat tarikan dan beri keuntungan.

"Projek ini bukan pembaziran tapi menguntungkan, yang dirancang (oleh) PNB. Najib berkata beliau tidak mengarahkan PNB untuk mewujudkan projek itu.

"Saya tidak arahkan PNB. PNB yang mencadangkan (perkara) ini, sesuatu yang sangat diingini oleh pengurusan atau lembaga (pengarah) PNB," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanatnya kepada anggota perwakilan di majlis tertutup Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini.

Semasa membentangkan Bajet 2011 Jumaat lalu, Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan satu lagi mercu tanda akan dibangunkan iaitu menara setinggi 100 tingkat yang dinamakan Warisan Merdeka dan dijadual siap pada 2020.

Najib berkata dalam sejarah negara ini, Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dikritik hebat oleh pembangkang apabila membuat keputusan untuk membina jambatan Pulau Pinang, namun akhirnya sekarang rakyat Pulau Pinang meminta jambatan yang kedua.

Dr Mahathir juga dipertikaikan semasa membina Menara Berkembar Petronas, jadi rasional kerajaan bagi pembinaan menara warisan adalah sama, katanya.

Warisan Merdeka akan menjadi menara tertinggi di Malaysia. Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara.

- Bernama

Dipetik dari Malaysiakini


Ulasan APDG

5 bilion akan digunakan untuk mendirikan bangunan 100 tingkat ini. 5 bilion bersamaan 5,000,000,000. Adakah wajar duit rakyat sebanyak itu dikeluarkan pada masa kerajaan meminta rakyat berjimat cermat. Di mana harga minyak amat tinggi dan membebankan rakyat. Di mana keperluan asas seperti minyak dan gula juga melambung tinggi.

Sedarkah Najib bahawa kawasan yg akan didirikan bangunan ini adalah kawasan paling sesak dan sering mengalami banjir. Kuala Lumpur adalah kawasan paling teruk mengalami kesesakan lalulintas. Kenapa perlunya mendirikan lagi sebuah bangunan di sini. Perhatikan apa yang berlaku di menara kembar petronas. Setiap hari warga Kuala Lumpur terpaksa menghabiskan masa yang banyak untuk ke tempat kerja dan balik dari kerja akibat kesesakan lalulintas.

Berfikirlah sebelum membuat sesuatu keputusan wahai pemimpin Negara Malaysia.

Duit Rakyat

Urusan perjalanan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin naik mendadak sehingga melebihi 75.2 peratus daripada perangkaan 2008.

Dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata jumlah kos 1,102 pegawai yang mengiringi Najib dan Muhyiddin sejak 2008 berjumlah RM21.45 juta.

Soalan berkenaan dikemukakan oleh ahli parlimen Batu, Tian Chua, yang ingin tahu jumlah pegawai yang mengiringi kedua-dua pemimpin berkenaan apabila mereka membuat lawatan rasmi.

“Pada 2008, kos lawatan perdana menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan timbalannya ketika itu (Najib) adalah RM5,597,583.20,” kata Chua.

Menurut beliau, apabila Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2009 kos lawatan perdana menteri dan timbalannya terus meningkat kepada RM6,041,934.35 dan jumlah itu melambung kepada RM9,807,310.63 bagi tahun ini.

Membanding jumlah lawatan, Chua berkata antara 2008 hingga 2009, kos perbelanjaan perjalanan adalah 7.94 peratus manakala daripada 2009 hingga 2010 ia naik kepada 62.32 peratus.

“Saya percaya semasa lawatan rasmi jabatan perdana menteri atau timbalan perdana menteri terpaksa membayar perbelanjaan boros isteri perdana menteri,” katanya.

“Rosmah Mansor (kanan) mempunyai rekod sebagai berbelanja besar di London pada 2008, saya percaya jumlah kos yang tinggi itu adalah untuk menampung perbelanjaan isterinya, sebagai contoh lawatan (Rosmah) ke Forum Antarabangsa Wanita di Washington dan New York pada Mei lalu,” kata Chua dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, jawapan kepada soalan kedua Tian berhubung kos pengurusan dan pembangunan Jabatan Perdana Menteri, timbalannya serta agensi berkaitan mendedahkan jumlah itu yang berjumlah RM4.3 bilion pada 2006 melonjak kepada RM10.2 bilion tahun lalu.

“Ini bermakna ia meningkat 136 peratus dan ini tidak termasuk perbelanjaan tambahan,” kata Tian.

Pada pementangan Bajet 2011, Jumaat lalu, Najib mengumumkan peruntukkan RM18.14 bilion kepada Jabatan Perdana Menteri.

Peruntukan itu mewakili 8.55 peratus daripada jumlah peruntukan bajet yang bernilai RM212 bilion.

“Ia menerima peruntukan ketiga terbesar mengikut agihan kementerian dengan RM35.76 billion untuk Kementerian Pelajaran dan RM31.2 bilion untuk Kementerian Kewangan,” kata Tian.- Sumber berita dipetikdari Malaysiakini


Ulasan APDG

Kos perjalanan PM dan DPM adalah 9.8 Juta pada tahun 2010.
Cuba bayangkan kalau MB Kelantan jadi PM berapa untung duit rakyat?

Kos pengurusan Jabatan Perdana Menteri 8.1 Bilion.
Cuba bayangkan kalau PM dedahkan details kemanakah 8.1 Bilion ini dibelanjakan.
Fikirlah wahai Manusia berapa banyak kos kita boleh jimat jika kita tukar kerajaan.