Tuesday, June 16, 2009

Nasharudin terkejut tindakan Nizar kecoh di Parlimen

Nasharudin terkejut tindakan Nizar kecoh di Parlimen

KUALA LUMPUR 16 Jun – Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa terkejut dengan tindakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang menimbulkan kekecohan sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen semalam.

Beliau memberitahu, Mohammad Nizar tidak memaklumkan kepada Pas Pusat berhubung tindakannya di Dewan Rakyat itu.

“Yang saya tahu beliau akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen semalam. Saya rasa itu adalah tindakan spontan Mohammad Nizar untuk memberikan mesej kepada umum mengenai kemelut politik di Perak.

“Saya juga tidak tahu mengenai pemakaian kain lilit di lengan dan kepala bertulis ‘Bubar DUN Perak’ di Parlimen semalam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Mohammad Nizar menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat apabila melaungkan ‘Hidup Rakyat’ dan ‘Bubar Dewan’ (Dewan Undangan Negeri Perak) sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Tindakan berkenaan diikuti dengan pemakaian kain lilit di kepala dan lengan di kalangan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang menyebabkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan kain berkenaan ditanggalkan.

Sikap degil Ahli Parlimen pembangkang menyebabkan Pandikar Amin mengarahkan tujuh orang Ahli Parlimen pembangkang termasuk Mohammad Nizar untuk keluar Dewan sekali gus menggantung mereka daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama dua hari.

Nasharudin turut menafikan laporan portal berita, Agenda Daily semalam bahawa Pas Pusat tidak menyokong tindakan Mohammad Nizar.

“Saya tidak berkata saya tidak menyokong tindakan Mohammad Nizar cuma tindakan tersebut tidak dimaklumkan kepada Pas Pusat terlebih dulu,” katanya.


Di petik Dari Utusan Online



No comments:

Post a Comment