Wednesday, June 17, 2009

Bahang Pilihanraya Kecil Manek Urai

Manek Urai tanpa poster Hadi
Jimadie Shah Othman | Jun 18, 09 12:30pm
Berbeza dengan pilihanraya kecil lain, DUN Manek Urai menyaksikan kelainannya apabila poster Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan dinaikkan sebagai strategi kempen.

Jentera pilihanraya PAS Kelantan berhasrat menonjolkan poster calon bersama Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga menteri besar sebagai sebahagian strategi "melokalisasi" kempen tersebut. 

“Ia bertujuan melokalisasi (strategi) kempen pilihanraya kecil ini. Ini lawan kepada (pendekatan) Umno yang kita tahu akan cuba menasionalkannya. 

“Ini pilihanraya tempatan (negeri),” kata Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS negeri, Nasir Daud kepada 
Malaysiakini hari ini.

Ketiadaan poster Abdul Hadi - yang selalunya dinaikkan bersama Nik Aziz - menimbulkan spekulasi bahawa dua tokoh atasan PAS ini tidak lagi sealiran, khususnya dalam isu kerajaan perpaduan. 

Bagaimanapun PAS Kelantan menafikan tindakan tersebut ada kaitan dengan isu kerajaan perpaduan - yang hangat diperkatakan dan memberi gambaran dua tokoh sedang bergeser.

“Ia tidak ada kaitan langsung dengan isu kerajaan perpaduan. Ini (hal) pilihanraya kecil,” kata Nasir sambil menyifatkan perkara itu sebagai “geder” atau khabar angin.



Lawat kawasan


Bagaimanapun, tambahnya, poster-poster belum lagi dicetak. 

“Yang sudah ada sikit-sikit itu (dibuat) sendiri-sendiri,” kata Nasir, yang juga penduduk tempatan Kuala Krai - tidak berapa jauh dari Manek Urai.

Ditanya sama ada tindakan tidak mencetak poster presiden itu akan membuatkan Abdul Hadi kecil hati, Nasir hanya menjawab: “Tidak apa”.

Sementara itu, beliau turut menafikan terdapat terdapat usaha PAS dari negeri-negeri tertentu memboikot kempen pilihanraya kecil PAS di DUN itu. 

“Pada 13 Jun lalu mereka sudah datang membuat lawatan ke kawasan dan berjumpa dengan orang tempatan. 

“Malam tadi baru saja (ahli jawatankuasa PAS pusat) Abu Bakar Chik datang,” katanya.

Nasir berkata, jentera PAS dari negeri lain akan mula turun ke Manek Urai mulai esok.

Malaysiakini difahamkan, Abu Bakar termasuk dalam senarai pemimpin yang “tidak dialu-alukan” oleh PAS negeri di Manek Urai.

Dikatakan, termasuk dalam senarai itu ialah Abdul Hadi, timbalannya Nasharuddin Mat Isa dan setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali.

Dewan Harian PAS akan bermesyuarat Isnin ini - dijangka membincangkan soal kerajaan perpaduan dan persiapan menghadapi pilihanraya umum DUN Manek Urai.


Dipetik dari Malaysiakini

No comments:

Post a Comment