Wednesday, June 17, 2009

Ulasan Yang Perlu Diberi Perhatian

JANGAN SAMPAI MARAKBAR ASRI MENJADI MARAKBAR HADI



1. Tan Sri Datuk Mohd Asri Haji Muda adalah bekas Yang DiPertua Agung (kini dipanggil Presiden) PAS yang keempat selepas Haji Fuad Hasan, Dr Abbas Ilias (pemangku) dan Dr Burhanuddin Al Helmi.

2. Beliau juga adalah Presiden PAS yang paling lama memegang teraju kepimpinan – sekitar 14 tahun. Sewaktu PAS memperoleh kejayaan demi kejayaan – kemenangan 12 MP PAS dan penguasaan Kelantan pada tahun 1969, menguasai beberapa kementerian dan agensi kerajaan sewaktu PAS menyertai BN dan pelbagai lagi, Datuk Asri disanjung tinggi.

Cukup tinggi. Pada ketika itu, tidak sedikit ahli PAS yang taksub pada Datuk Asri lantaran kebijaksanaan strategi siasahnya, kehandalan berpidatonya serta PRnya yang menyenangkan.

3. Namun, dalam penceritaan sejarah Presiden PAS hari ini, Datuk Asri telah digambarkan sebagai seorang yang telah tercabut dari akar perjuangan. Beliau dikatakan telah membawa parti kepada ideologi Nasionalis Islam. Kepimpinan dan jasa beliau semacam tidak dikenang lagi. Seboleh mungkin nama Asri mahu dipadamkan terus dari sejarah PAS. Saya tidak pasti adakah pemuda-pemuda yang pernah memalukannya dalam muktamar dulu pernah memohon maaf pada akhir-akhir hayatnya sebagaimana Tun Mahathir menyantuni Tunku Abdul Rahman.

4. Dalam Muktamar Thanawi PAS 1982,beliau telah dijatuhkan sangat kasar dan biadab. Mahfuz Omar dan Mat Sabu adalah antara pemuda PAS yang berdiri sepanjang muktamar mengecam dan menghentam Asri. Laungan ‘Takbir’ dan ‘Marakbar Asri’ menguasai Tingkat 5, Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari itu. Datuk Asri akur dan berundur dalam kekecewaan yang tiada taranya.

5. Mengapa perkara itu berlaku pada seorang Presiden parti yang disanjung tinggi?

6. Apabila Asri memutuskan untuk menyertai BN pada 1973, majoriti masih menganggap keputusan itu betul. Apabila Asri memutuskan untuk keluar dari kabinet Tun Hussein Onn pada 1977 lantaran rampasan kuasa di Kelantan, majoriti ahli PAS masih menganggap beliau betul. Memang ada suara yang mengkritik, tapi masih sembunyi-sembunyi. Waktu itu blog pun belum wujud – tidak sebagaimana hari ini.

7. Apabila PAS kalah teruk dalam Pilihanraya Umum 1978 dan kemudiannya 1982, Asri Muda mula dipersalahkan secara besar-besaran. Ahli mula tersedar dan percaya bahawa Datuk Asri telah banyak membuat keputusan-keputusan yang tidak betul.

8. Wujud perancangan sulit untuk menjatuhkan beliau. Lebih halus, istilah Kepimpinan Ulama’ dicipta dan didoktrinkan kepada ahli. Kebetulan Timbalan Presiden PAS pada ketika itu adalah seorang Ulama’ – Tuan Guru Haji Yusuf Rawa. Kepimpinan PAS bertukar tangan kepada golongan Ulama’. Natijahnya tidak dinafikan baik, parti telah menjadi semakin kukuh dan PAS mula berpengaruh.

9. Tetapi satu fakta yang tidak boleh dinafikan adalah PAS berpengaruh melalui kesempatan, bukan kekuatan. Pada 1990, pakatan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dengan Semangat 46 serta 1999 – Era Reformasi pasca pemecatan Anwar Ibrahim. PAS belum pernah dan belum mampu mencipta kejayaan atas kekuatan yang dimiliki sendiri.

10. Mengapa ini berlaku?

11. Segala-galanya adalah berpunca daripada bagaimana cara ahli PAS berfikir. Baik 30 tahun dulu ataupun pada hari ini. 

12. Mereka lupa bahawa pada era Datuk Asri dulu, ahli-ahli PASlah yang menyebabkan parti itu lemah. Parti itu lemah kerana Presidennya kerapkali membuat keputusan yang salah. Keputusan yang salah itu berlaku kerana ahli-ahlinya yang tidak menasihati Presiden. Ahli-ahli terlalu yakin dengan kebijaksanaan, kehebatan dan kemuliaan pemimpinnya itu. Lebih parah apabila sanjungan dan keyakinan ahli itu telah ditafsirkan sebagai mandat mutlak ahli kepadanya (Asri).

13. Mandat mutlak adalah punca kejatuhan banyak kerajaan demokratik di dunia. Apabila pemimpin menganggap bahawa kepimpinannya diterima secara mutlak, maka pemimpin itu cenderung untuk membuat keputusan berdasarkan gerak hati sendiri, bukannya pandangan massa apatah lagi pendapat ahli-ahli bawahan yang dianggap pasti akan tetap menyokongnya dalam apa jua keadaan. Hasilnya – bercambahlah keputusan-keputusan yang salah. Keputusan-keputusan yang salah itu akan menyebabkan parti akhirnya rebah.

14. Apa yang berlaku pada 30 tahun yang lalu tidak mustahil akan berulang lagi.

15. Apabila Presiden terlalu yakin dengan kebijaksanaan peribadinya sehingga mengabaikan nasihat-nasihat yang baik dan kritikal terhadapnya, parti sedang dibawa ke lembah kebinasaan. Lebih parah apabila pimpinan-pimpinan utama dipilih dan dilantik dari kalangan yang sukar berbeza pandangan dengan Presiden. Semalam Cikgu Pa yang boleh dianggap veteran parti telah dilantik sebagai Setiausaha Agung (Saya akan mengulas dalam tulisan yang akan datang).

16. Pada masa ini, ahli masih tidak memberontak. Kalaupun ada, hanya letusan-letusan kemarahan di ruang-ruang blog dan kedai-kedai kopi. Pada masa ini kerusi PAS di Parlimen masih banyak, 2 kerajaan negeri masih dikuasai. Ahli-ahli masih berada dalam zon yang sangat selesa. Sangat selesa hinggakan ahli tidak perlu berfikir dengan kuat tentang apakah yang terbaik untuk parti.

17. Apabila keputusan-keputusan salah terus dibuat oleh pucuk pimpinan, hasilnya akan dilihat dalam PRU 13 nanti. Pada waktu itu PAS mungkin akan tewas di banyak kerusi parlimen. Kedah dan Kelantan mungkin kembali ke tangan UMNO. Jika itu berlaku, ahli-ahli PAS akan mula marah secara besar-besaran. Mereka akan mula lupa pada Kepimpinan Ulama’. Mereka akan lupa pada status Ulama’ seorang Presiden. Mereka akan lupa segala-galanya yang mereka sedang pertahankan pada hari ini.

18. Pada waktu itu, Ustaz Hadi mungkin akan diperlakukan lebih teruk daripada Asri Muda.Mungkin selepas itu konsep Kepimpinan Ulama’ akan terus berkubur.

19. Jika ini berlaku, PAS akan menunggu masa yang lama lagi untuk pulih.

20. Al Fatihah untuk Allahyarham Datuk Mohd Asri Haji Muda.

Petikan Dari

No comments:

Post a Comment